KUALA LUMPUR, 21 April- Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada pereka kandungan digital, Sofyank, 27, yang menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge - Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Beliau berkata, kejayaan anak muda itu telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Tahniah buat anak muda, Sofyank, yang mengharumkan nama Malaysia (dan Lembah Pantai) dengan menjuarai Ultimate VFX Challenge di Los Angeles,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Tambah beliau, bakat Sofyank sangat luar biasa dan insya-Allah akan ada beberapa kolaborasi bersama beliau selepas ini.
(Foto FB Fahmi.Fadzil.1)
Beliau menyifatkan Sofyank seorang yang sangat beradab dan merendah diri.
Sofyank, yang terkenal dengan bakat mencipta kandungan digital VFX atau kesan visual, telah beberapa kali berkolaborasi dengan selebriti antarabangsa malah sehingga kini, video ciptaan beliau ditonton oleh jutaan pelayar media sosial.