KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak orang ramai hadir ke Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan pada Ahad ini (4 Ogos), pukul 8.00 malam di Axiata Arena Bukit Jalil.
Fahmi menerusi hantaran facebook memaklumkan acara tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Semua dijemput hadir!
"Himpunan Pembebasan Palestin, disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil.
"Kita jumpa Ahad ini", katanya.
Semalam, Perdana Menteri menyifatkan Himpunan Pembebasan Palestin pada 4 Ogos sebagai mesej protes terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh. Ia sekali gus sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Ismail dan pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran selepas menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.