fb fb fb fb fb

Fadillah ketuai delegasi Malaysia ke Nairobi, Kenya

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Nairobi, Kenya mulai 3 hingga 7 Julai ini.

Ia bagi memberi ucaptama dan merasmikan Malaysian Palm Oil Forum – East Africa Region 2023.

Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi kenyataan media memaklumkan, forum bagi meneroka potensi pengembangan eksport minyak sawit di pasaran Afrika Timur, di samping memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kenya dalam industri minyak sawit.

Semasa di Kenya, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Kenya dan Perdagangan Kenya serta pemain industri sawit di sana.

"Mesyuarat yang akan diadakan bertujuan memperkukuh kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kenya serta meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak sawit di negara berkenaan.

"Jadual lawatan beliau turut meliputi kunjungan ke kilang-kilang pemprosesan minyak sawit dan syarikat-syarikat pengeluaran makanan utama di Kenya," menurut kenyataan itu.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto fail Bernama)

Pada masa sama, lawatan dijangka akan menggalakkan kerjasama dan memberi peluang untuk meneroka potensi yang lebih luas bagi industri minyak sawit negara.

"Timbalan Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Kenya," tambah kenyataan itu.

Malaysian Palm Oil Forum – East Africa Region 2023 merupakan platform untuk mempamerkan kepakaran Malaysia dalam industri minyak sawit dan meneroka peluang kerjasama dengan negara-negara Afrika Timur.

Lawatan Timbalan Perdana Menteri memberi fokus ke atas komitmen Malaysia dalam mempromosi pengeluaran minyak sawit mampan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Kenya serta negara Afrika yang lain.

Media Baharu