fb fb fb fb fb

Enam individu terima Anugerah My Hero 4.0, dilantik sebagai Duta Perpaduan

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Seramai enam individu daripada 13 calon akhir yang disenarai pendek, dipilih menerima Anugerah My Hero edisi keempat serta dilantik secara automatik sebagai Duta Perpaduan.

Pemilihan dibuat berdasarkan komitmen, semangat kesukarelawanan dan konsistensi dalam membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menyifatkan semua calon dan penerima anugerah berkenaan sebagai 'wira yang tidak didendang', memainkan peranan besar dalam menyuntik rasa kebersamaan serta memupuk semangat penyatuan rakyat.

"Daripada program ini, kita dapat menonjolkan individu-individu yang telah menyumbangkan kepada kesejahteraan masyarakat kita daripada pelbagai segi termasuk aktiviti dan sumbangan mereka membantu rakyat Malaysia," kata Aaron kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah My Hero 4.0 di ibu negara.

Setakat ini, seramai 18 orang wira dan wirawati My Hero terdiri daripada pelbagai kaum telah menerima anugerah itu bermula pada tahun 2014, 2016 dan 2018.

Sementara itu, 50 Duta Perpaduan dan dua Ikon Perpaduan akan dilantik setiap tahun.

Tambah Datuk Aaron, mereka berperanan menyebar luas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan semangat muhibah serta kebersamaan.

"Kita telahpun menghantar 90 orang para graduan ke negeri Sarawak, dalam lapan kumpulan untuk mereka hidup bersama-sama dengan kumpulan etnik di kawasan luar bandar.

Ini bertujuan untuk memahami kehidupan, kebudayaan dan tingkah laku rakyat-rakyat kita di Sarawak. Kita akan adakan di Sabah juga serta di seluruh negara. Apabila mereka selesai menjalani program ini, kita akan lantik mereka sebagai duta."

"Duta ini merentasi agama, budaya dan sebagainya," tambah Datuk Aaron.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM