KUALA LUMPUR, 11 Januari- Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dicadang untuk memperkenalkan kursus khas berkaitan penuaian kelapa sawit kepada golongan belia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam industri kelapa sawit negara, sekali gus mengurangkan tenaga buruh asing.
"Kerja-kerja biasa semua orang boleh buat, tapi 'harvesting' (penuaian), kita belum ada lagi profesion ini sebab negara ada 5.6 juta hektar ladang kelapa sawit. Jadi saya ingat kalau TVET boleh memperkenal kursus untuk mengajar anak-anak muda ini, daripada dia habis TVET dia boleh buat 'harvesting', tetapi TVET punya kursus khas untuk penuaian," katanya ketika menghadiri Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024, di sini.
Tambahnya, beliau juga telah mengadakan perbincangan awal bersama Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi TVET Negara bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, susulan kebimbangan yang dibangkit pemain-pemain industri berkenaan isu levi keuntungan luar biasa (WPL), beliau berkata kerajaan akan meneliti isu tersebut dan berunding dengan pihak berkaitan.