fb fb fb fb fb

Bekalan air di Pulau Pinang semakin pulih

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

BUTTERWORTH, 11 Januari- Bekalan air di Pulau Pinang dilapor semakin pulih, dengan 60% pengguna telah mula menerima bekalan itu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata isyarat positif itu membenarkan 590,000 pengguna mendapatkan bekalan air bersih sejak awal pagi tadi.

"Sebenarnya, memang berlaku gangguan bekalan namun mungkin ada kediaman yang mempunyai simpanan dan tidak begitu merasai terputus bekalan dengan mendadak."

"Jika ikutkan tempohnya adalah 96 jam seperti mana yang telah dikemukan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) malah ada yang lebih awal dapat bekalan tetapi berdasarkan rekod, progres pembaikan itu lebih cepat daripada yang dijadualkan," kata Akmal kepada pemberita selepas melawat Lori Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K.Pathmanathan dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

PBAPP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerja pemulihan bekalan air Tahap 1 sedang berlangsung dan PBAPP kini sedang menyiapkan kerja-kerja pembaikan saluran di Sungai Perai.

Kejayaan pengapitan lubang 1.35 meter pada saluran paip bawah air Sungai Perai adalah perlu bagi PBAPP untuk memulakan Tahap 2, mengikut pelan pemulihan bekalan air seperti yang dijadualkan.

Fasa Tahap 2, PBAPP menyasarkan untuk mengembalikan bekalan air untuk 496,065 pengguna, iaitu 84% daripada 590,000 pengguna yang terjejas di Seberang Perai dan di kawasan pulau menjelang pukul 6.00 pagi esok.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM