(Foto BERNAMA)
BATU KAWAN, 10 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah mengenal pasti enam lokasi 'hotspot' berisiko berlakunya pembakaran terbuka berskala besar di negeri itu.
Pengarahnya, Saadon Moktar berkata ia melibatkan tapak pelupusan sampah, tanah perkuburan dan Hutan Bukit Bendera.
Katanya, ia perlu dipantau setiap masa berikutan berisiko berlakunya kebakaran ketika musim panas.
"Enam lokasi berkenaan terdiri daripada Tapak Pelupusan Sampah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Tapak Pelupusan Sampah Jalan Byram Pulau Burung, Tapak Pelupusan Sampah Ampang Jajar Mak Mandin, Tanah Perkuburan Cina Padang Tembak, Tanah Perkuburan Cina Mount Erskine dan Hutan Bukit Bendera Paya Terubong.
"Kesemua lokasi berkenaan merupakan antara lokasi yang sering berlaku kebakaran besar setiap kali musim panas.
"Tambahnya 22 lokasi lagi turut dikesan berisiko berlaku kebakaran berskala sederhana dan kecil termasuk kebakaran hutan.
"Antara lokasi terbabit, Jalan Chain Ferry dan New Ferry Butterworth, Taman Bagan, Jalan Bagan Lalang, Bukit Tambun (Lebuhraya Utara Selatan), Hutan Bukit Kukus, Hutan Bukit Jambul, Hutan Bukit Gambir, Hutan Empangan Mengkuang dan Hutan Pulau Aman," katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Saadon, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk akses bekalan air terbuka sekiranya perlu.
Pihaknya mempunyai kira-kira 13,000 pili bomba di seluruh negeri yang diselenggara dengan baik.
Malah, mempunyai empat lori tangki serta bantuan tangki air daripada bomba sukarela.
(Foto BERNAMA)