fb fb fb fb fb

Enam gerai warga asing di bazar Ramadan Johor disita PBT

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor / Foto BERNAMA

KULAI, 14 Mac Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor telah menyita enam gerai yang dikendalikan oleh warga asing di Bazaar Ramadan sehingga semalam kerana beroperasi tanpa lesen yang sah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata tindakan tegas itu diambil di dua lokasi iaitu Iskandar Puteri dan Batu Pahat.

Menurut beliau, warga asing yang terlibat menjalankan perniagaan makanan serta menjual hasil tangkapan laut tanpa kebenaran.

“Mereka menyelit masuk ke kawasan bazar tanpa kelulusan. Oleh itu, apabila arahan penguatkuasaan diberikan kepada 16 PBT, pemeriksaan dilakukan ke atas setiap gerai.

“Kami mendapati gerai ini tidak berdaftar dalam senarai lesen yang dibenarkan untuk berniaga. Oleh itu, apabila dikenal pasti, tindakan sitaan terus dilakukan,” katanya semasa meninjau Bazaar Ramadan di Jalan Merbau, Kulai.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Jafni turut menjelaskan bahawa rampasan mercun yang dijalankan di Pontian pada 10 Mac lalu adalah kerana peniaga tidak memiliki lesen sah daripada PBT serta permit polis yang diperlukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD