fb fb fb fb fb

Empat SOP berkaitan REE diputuskan

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 22 November - Empat prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) telah diputuskan, termasuk penetapan perlombongan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) daripada lempung jerapan ion bagi menghasilkan RE Carbonate yang tidak melibatkan penghasilan bahan radioaktif.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia selain penggunaan kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) yang tidak melibatkan pembukaan kawasan yang besar.

"Penetapan kaedah pemantauan yang teratur dan berkala termasuk pembinaan telaga pemantauan bagi mengesan sebarang pencemaran kepada sumber air bawah tanah dan keperluan untuk penyediaan kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum kelulusan bagi menjalankan aktiviti perlombongan boleh diberikan," kata Nik Nazmi menjawab pertanyaan Gopeng, Tan Kar Hing mengenai perancangan kementerian memastikan industri berkenaan tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan impak sosial, di Dewan Rakyat.

SOP berkenaan telah dipersetujui untuk diguna pakai Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) pada 2 Oktober lalu.

Ia dibangunkan berdasarkan SOP Perlombongan NR-REE yang diguna pakai untuk pembangunan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

TETITIA YUSOFF