
TANAH MERAH, 29 November– Empat projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan masyarakat bernilai RM500,000 berjaya disiapkan menerusi Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Bukit Merah, Tanah Merah, Kelantan.
- Projek melibatkan pembinaan pagar Tanah Perkuburan Tok Nyadak serta menaik taraf tiga masjid dan pondok tahfiz.
- Projek disiapkan lebih awal walaupun berdepan kekangan peruntukan.
- Kemudahan baharu meningkatkan keselesaan penduduk untuk beribadah, menjalankan aktiviti keagamaan dan mengikuti pendidikan.
- Penglibatan pelajar TVET MARA memberi peluang mengaplikasikan kemahiran teknikal serta memupuk tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat.
Pelaksanaan program Jabatan Akauntan Negara (JANM) itu melibatkan pembinaan pagar di Tanah Perkuburan Tok Nyadak, serta kerja-kerja menaik taraf Masjid Iktikaf Ibnu Sina, Masjid Iktikaf Pak Teh dan Pondok Tahfiz Padang Bongor.
Akauntan Negara, Datuk Nasran Omar berkata projek berkenaan berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
“Pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan keselesaan penduduk setempat dalam melaksanakan aktiviti keagamaan, ibadah dan pendidikan.
“Walaupun berdepan kekangan peruntukan berbanding tahun sebelumnya, pelaksanaan program ini dapat mencapai matlamat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Serah Siap Program Kampung Angkat MADANI, JANM di Kampung Bukit Merah.
Menurut beliau, kejayaan sesuatu program bukan semata-mata diukur melalui jumlah peruntukan yang dibelanjakan, tetapi melalui manfaat, nilai dan impak yang dapat dinikmati oleh masyarakat.
Terdahulu, program yang bermula dengan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI pada 7 Mac lalu turut melibatkan siri lawatan dan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan memenuhi keperluan sebenar masyarakat setempat.
Selain memanfaatkan penduduk, program tersebut turut membuka ruang pembelajaran dan pembangunan modal insan melalui penglibatan tenaga pengajar serta pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA.
Jelasnya, penglibatan tersebut memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran teknikal dalam situasi sebenar di lapangan, di samping memupuk nilai tanggungjawab, disiplin, kreativiti dan keprihatinan terhadap masyarakat.
“Diharapkan penduduk Kampung Bukit Merah bersama-sama menjaga, menyelenggara dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi memastikan manfaat pembangunan tersebut dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang” katanya.