fb fb fb fb fb

Empat lokasi di Sarawak terpilih untuk Jerayawara Inisiatif PMKS

Mohd Saiful Sungkih Abdullah pada temu bual bersama SARAWAKfm

KUCHING, 10 Mei- Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan akan menganjurkan program Jerayawara Inisiatif Pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sedarhana (PMKS) di empat lokasi di Sarawak.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Perbendaharaan Malaysia, Mohd Saiful Sungkih Abdullah berkata program akan bermula esok di Islamic Information Centre (IIC) Kuching, diikuti Universiti Teknologi Sarawak di Sibu pada 21 Mei.

Dua lagi lokasi penganjuran ialah di Universiti Putra Malaysia Bintulu pada 23 Mei dan Pustaka Negeri Sarawak Miri pada 27 Mei.

Kesemua program akan bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, yang merupakan satu platform jalinan strategik dan sokongan kepada PMKS untuk mendapatkan inisiatif pembiayaan dan perkhidmatan perniagaan yang disediakan Kementerian Kewangan, institusi kewangan perbankan dan institusi kewangan bukan perbankan.

Program akan meliputi sesi taklimat, pameran, kaunter khidmat nasihat dan sesi konsultasi.

Dalam sesi temu bual bersama SARAWAKfm hari ini, Mohd Saiful berkata maklumat lanjut mengenai program jerayawara berkenaan boleh didapati daripada Perbendaharaan Malaysia Sarawak di talian 082-421 333.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE