IPOH, 5 Mei-Semua masjid, surau dan sekolah agama rakyat di negeri Perak digesa segera mendaftarkan tanah wakaf masing-masing dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang tuntutan ke atas tanah berkenaan oleh pihak ketiga pada masa akan datang.
Menurut beliau, masih terdapat sejumlah besar tanah wakaf yang belum didaftarkan secara rasmi di bawah MAIPk, walaupun ia digunakan bagi tujuan pembinaan masjid dan kemudahan lain.
"Sebab itu saya nasihatkan kepada semua masjid yang belum lagi mewartakan wakaf atas nama MAIPk, hendaklah berbuat demikian dengan segera.
"Tapi Alhamdulillah, setiap minggu kita ada kertas EXCO yang kita luluskan atas nama MAIPk. Cuma saya kata, masih banyak lagi bukan hanya masjid, surau dan juga sekolah, KAFA pun sama", katanya demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan Surau Ta’addud Jumaat Seluruh Negeri Perak di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan MAIPk mengambil tindakan segera berhubung kes penjualan sebahagian tanah sebuah masjid di daerah Kerian oleh waris pewakaf kepada individu bukan Islam dengan nilai RM1.8 juta.