fb fb fb fb fb

Elak perjalanan ke India-Pakistan buat sementara waktu

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan./ Foto Bernama

SEREMBAN, 10 Mei- Rakyat Malaysia yang merancang ke India dan Pakistan khususnya di wilayah Kashmir dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan tidak penting susulan pergolakan di kedua-dua negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut meminta rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan terutama pelajar untuk menghubungi dan mengemas kini maklumat masing-masing di kedutaan atau pejabat konsulat.

“Rakyat Malaysia di India dan Pakistan diminta menghubungi kedutaan atau pejabat konsulat di kedua-dua negara itu dengan meninggalkan nombor telefon dan alamat supaya jika ada apa-apa keperluan pihak kedutaan akan mudah menghubungi mereka.

“Rakyat yang berada di sana juga dinasihat untuk mengelak pergi ke daerah yang bermasalah terutama di Kashmir.

“Setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terperangkap, jadi saya minta supaya mereka berhati-hati dan jika berada di luar kawasan yang terlibat, batalkan dulu apa juga perjalanan ke sana agar tidak menjadi mangsa atau terjejasjika terjadinya perkara-perkara tidak diingini,” katanya.

Mohamad diminta mengulas perkembangan terkini susulan ketegangan yang berlaku membabitkan India dan Pakistan apabila media antarabangsa melaporkan pertempuran antara dua negara jiran bersenjata nuklear itu semakin memuncak.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke India susulan serangan rentas sempadan dengan Pakistan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Wisma Putra telah mengeluarkan kenyataan meminta kedua negara berkenaan untuk menghentikan ketegangan bagi mengelak keadaan tidak menentu dan situasi tegang berterusan berlaku.

“Malaysia risau dengan keadaan saling berbalas tembakan menggunakan dron dan roket, ini perlu dielakkan.

“Harap pemimpin kedua-dua negara memikirkan gambaran lebih besar daripada melihat situasi yang boleh menyebabkan hubungan dua negara terjejas,” katanya.

MOHAN CHINNASAMY