fb fb fb fb fb

Ekonomi Sarawak terus kukuh sepanjang 61 tahun berada dalam Persekutuan Malaysia- Premier

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg / FOTO UKAS

KUCHING, 16 September- Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap pembangunan ekonomi negeri akan terus pesat dan keharmonian sedia ada dikalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa terus kekal pada masa hadapan dengan menjulang semangat "Segulai Sejalai".

Dalam perutusan beliau sempena sambutan perayaan Hari Malaysia, Tan Sri Abang Johari turut meluahkan rasa syukur terhadap kemajuan Sarawak yang semakin kehadapan dengan kekuatan yang sedia ada serta pencapaian unggul dalam penjanaan pendapatan tinggi yang telah meraih pengiktirafan Bank Dunia tahun lepas.

"Sepanjang 61 tahun Sarawak berada dalam Persekutuan Malaysia, negeri ini terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan ekonomi dan sekarang ini tumpuan kerajaan adalah ke arah dasar penjanaan ekonomi mapan berteraskan sumber baharu dan ekonomi digital," ujarnya.

Tambahnya pendekatan baharu tersebut adalah berteraskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 sebagai landasan utama ke arah menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sementara itu, Timbalan-timbalannya Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Datuk Dr Sim Kui Hian turut menyuarakan harapan yang serupa dalam perutusan masing-masing.

Datuk Awang Tengah dalam perutusannya berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas pemberian autonomi kembali kepada Sarawak dalam bidang-bidang penting yang sekaligus membuktikan negeri ini sentiasa diiktiraf sebagai rakan sekutu dalam Malaysia.

"Contohnya Pelabuhan Bintulu kini menjadi milik kerajaan Sarawak, ia merupakan hasil daripada usaha bersama mencapai persetujuan melalui meja perundingan," jelas beliau.

Manakala Datuk Dr Sim pula berkata perayaan tersebut bukan hanya untuk diraikan oleh rakyat Sarawak atau Sabah sahaja tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

Justeru katanya amat penting bagi rakyat Malaysia untuk terus berganding bahu dalam memastikan kesinambungan pembangunan negara untuk kesejahteraan bersama.

"Apabila Sarawak maju, Malaysia akan bertambah maju. Oleh itu sama-sama kita meraikan sambutan Hari Malaysia," kata Datuk Dr Sim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE