fb fb fb fb fb

Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual

TENOM, 18 Februari - Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew, 38, didakwa ke Mahkamah Majistret Tenom hari ini atas 11 pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap seorang perempuan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

"Ebit Lew dituduh di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatasapp.

"Kesemua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom dan semenanjung antara bulan Mac 2021 hingga Jun 2021 melibatkan mangsa berumur 21 hingga 40 tahun," katanya dalam sidang media di sini.

"Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

"Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Jabatan penguam Negeri Sabah, Muhamad Ilmami Datuk Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Menurutnya, jika disabitkan kesalaham tertuduh boleh dihukum dengan hukum penjara sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan dengan lancar.

 

Kira-kira jam 9 pagi tadi Ebit Lew tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom dengan menaiki sebuah Toyota Vellfire yang ditemani sekumpulan individu lain.

Perkarangan Pejabat Daerah Tenom turut dikawal polis sejak awal pagi dan petugas media juga tidak dibenarkan untuk mengambil gambar di perkarangan.

Pada 3 Februari lalu, polis mengesahkan kertas siasatan terhadap Ebit di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan.

Polis membuka kertas siasatan terhadap Ebit Lew susulan menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa dia melakukan gangguan seksual.

Susulan itu, polis bertindak membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Media Baharu