fb fb fb fb fb

EAFM Langkawi berjaya pupuk kesedaran konservasi marin, bantu komuniti nelayan

EAFM 2025 bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan habitat marin, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa laut / Foto Jabatan Perikanan Kedah

LANGKAWI, 17 September- Program Ecosystem Approach to Fisheries Management (EAFM) Langkawi 2025 berakhir dengan pencapaian cemerlang dalam usaha pemuliharaan ekosistem marin dan kesejahteraan komuniti nelayan setempat.

Pengarah Jabatan Perikanan Kedah, Sukri Deris berkata, sebanyak 24 unit tukun tiruan berjaya dilabuhkan dengan keluasan sekitar 35 meter persegi, manakala hampir 200 anak karang ditanam.

Selain itu, kira-kira 100 kilogram pukat hantu atau 'ghost net' berjaya dikeluarkan dari perairan Langkawi melalui operasi pembersihan khas.

“Program ini bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan habitat marin, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa laut secara bertanggungjawab.

Kita juga sarankan nelayan supaya mengelak daripada memukat di kawasan terumbu karang atau berbatu,” katanya.

Seorang sukarelawan, Ahmad Muslim Othman berkata, usaha pemuliharaan ini memberi manfaat kepada komuniti tempatan, termasuk sektor pelancongan.

“Kalau karang makin cantik, orang akan seronok datang. Ia bantu ekonomi komuniti juga,” katanya.

Program EAFM Langkawi 2025 berlangsung dari 15 hingga 17 September di beberapa lokasi terpilih di Pulau Langkawi.

Ia melibatkan aktiviti di Pulau Pasir, Pulau Gasing dan Dangli dengan kerjasama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta komuniti nelayan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN