fb fb fb fb fb

e-Testing kini dalam proses POC, dijangka selesai akhir Mac

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Kementerian Pengangkutan (MOT) dijangka menerima laporan penilaian proses pembuktian konsep (POC) sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau 'e-Testing', akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, jawatankuasa teknikal projek tersebut kini sedang menilai sistem-sistem yang dibangunkan untuk projek tersebut.

“Jadi adalah amat penting bahawa konsep baharu ini perlu diteliti dengan baik sebelum dilaksanakan kerana melibatkan masyarakat umum dan apabila diterima pakai nanti tiada masalah yang timbul.

"“Dijangkakan proses (POC) ini akan berakhir pada hujung bulan ini dan selepas itu akan dilaksanakan mengikut konsep yang dilihat baik untuk kegunaan masyarakat awam,” katanya.

(Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong)

Beliau berkata, pelaksanaan sistem ‘e-Testing’ bagi pengambilan ujian lesen kenderaan kini dalam proses pembuktian konsep (POC) bagi memastikan pelaksanaannya menepati dan mematuhi peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.


"Kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Projek e-Testing dan sebanyak empat syarikat memohon serta diberikan kelulusan menjalankan POC itu.

“Pada ketika ini, Jawatankuasa Teknikal sedang dalam proses penilaian ke atas sistem yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat berkenaan. Laporan penilaian POC itu dijangka dapat dibentangkan ke Kementerian Pengangkutan pada akhir Mac 2022.

“Mana-mana syarikat yang berjaya dalam fasa penilaian POC akan ditawar untuk melaksanakan projek rintis bagi tempoh tertentu sebelum sistem ini mula diperkenalkan secara berperingkat di Institut Memandu di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai bilakah sistem e-Testing dapat dilaksanakan sepenuhnya untuk semua proses ujian lesen memandu oleh JPJ dan syarikat pembekal teknologi yang dipilih untuk melaksanakan sistem itu.

Media Baharu