fb fb fb fb fb

E-baucar buku, bakal manfaatkan lebih 1.2 juta pelajar IPT tempatan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Mei- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengagihkan e-baucar pembelian buku bernilai RM100 secara berfasa mulai esok hingga 31 Disember depan.

KPT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bagi fasa pertama, pihaknya akan menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal Graduate Reference Hub for Employment and Training' (GREaT) bermula esok pada pukul 10.00 pagi.

"Penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara dalam talian di platform BookCapital sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar RM100 bagi sekali transaksi," kata kenyataan itu.

Menurut KPT, insentif itu bakal memberikan manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) warganegara Malaysia.

Justeru, KPT berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca malah bakal merancakkan industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan.

Tambah kementerian itu, baki baucar buku bakal disalurkan pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM