KUALA NERANG, 19 Jun - Dua unit bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, Kedah hampir musnah terbakar dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang Aminuddin Khozali menerusi kenyataan memaklumkan, bagaimanapun kebakaran itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Katanya pihak bomba menerima panggilan kejadian kira-kira pukul 7.37 pagi yang melibatkan struktur bangunan asrama pada aras tiga asrama itu.
"Setibanya dilokasi didapati kebakaran melibatkan bilik penyimpanan barang setor dan bilik air kelas A, dengan anggaran kemusnahan 90 peratus," katanya.
Operasi pemadaman melibatkan tiga jentera dan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang dan Pokok Sena.
Beliau berkata api dapat dikawal kira-kira pukul 7.55 pagi dan operasi pemadaman lanjut sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa api kebakaran.