fb fb fb fb fb

Dua pekerja Bangladesh maut ditimpa konkrit, tanah

FOTO PDRM

SHAH ALAM, 9 September- Dua pekerja binaan maut ditimpa dinding konkrit longkang dan tertimbus tanah semasa kerja-kerja pemasangan di tapak pembinaan Elmina Ridge, Denai Alam, di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Penguasa Polis (SP) Ramsay Embol berkata seramai tiga pekerja berada di tapak berkenaan ketika kejadian sekitar pukul 10.15 pagi.

"Secara tiba-tiba tanah di tepi longkang runtuh menyebabkan dinding konkrit patah dan menimpa salah seorang pekerja, manakala seorang lagi tertimbus runtuhan tanah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata kedua-dua mangsa warga Bangladesh berusia 30 dan 25 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu seorang lagi pekerja terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Polis meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saipol Paizi Zainol dari Balai Polis Bukit Jelutong di talian 012-578 1435.

0909 DUA PEKERJA MAUT DITIMPA KONKRIT 2
FOTO PDRM

SITI AISHAH MD ISA