KUALA LUMPUR, 3 April- Dua nelayan warga Indonesia terselamat selepas bot mereka terbalik dipukul ombak kuat di perairan Pulau Tengah, Pelabuhan Klang, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar 9.19 pagi dan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada 9.30 pagi dengan aset laut dan udara digerakkan.
Namun kedua-dua mangsa diselamatkan kapal minyak ORKIM SAPPHIRE yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
"Namun, setengah jam kemudian, pihaknya menerima maklumat bahawa kapal ORKIM SAPPHIRE telah menemui dan menyelamatkan kedua-dua mangsa.
"Mangsa, Admeral Chaniago, 51, dan Roy Tampa, 25, dipindahkan ke bot PENGAWAL 26 sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sekitar 5.00 petang dan kemudian diserahkan kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia," menurut kenyataan itu.
Abdul Muhaimin turut memberi penghargaan terhadap tindakan pantas kru ORKIM SAPPHIRE yang berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa.