fb fb fb fb fb

Dua Menteri undur, Kabinet kekal seperti biasa

Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mei di Puspanitapuri, di Putrajaya.

PUTRAJAYA, 29 MeiTiada sebarang rombakan Kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat susulan pengunduran Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu belum dapat diputuskan selagi kedua-dua menteri terbabit masih dalam tempoh cuti perkhidmatan mereka.

“Mereka masih cuti… masih cuti, tidak boleh diganti semasa mereka bercuti,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mei di Puspanitapuri, di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan meletak jawatan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini diikuti Ahli Parlimen Setiawangsa yang mengambil langkah sama berkuat kuasa 4 Julai.

Keputusan berkenaan susulan kegagalan mereka mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 minggu lepas.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memaklumkan Datuk Seri Anwar telah menerima surat permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Datuk Seri Rafizi dan Nik Nazmi.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN