PENAMPANG, 1 Mac- Dua individu maut manakala seorang lagi dipercayai masih hilang dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Limbanak di sini, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian berlaku sekitar pukul 3.00 pagi dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.26 pagi.
Mangsa wanita dipercayai meninggal dunia akibat renjatan elektrik, manakala seorang lagi mangsa lelaki ditemukan rentung.
Identiti lelaki berkenaan masih dalam proses pengecaman, sementara wanita yang maut dianggarkan berusia dalam lingkungan 50-an.
Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal yang musnah sepenuhnya.
Menurut orang awam, terdapat tiga penghuni di dalam rumah berkenaan dan seorang lagi mangsa masih dalam pencarian di kawasan sekitar.