KAJANG, 8 Mei- Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Devan Jayasimhan dan Hariharan Silvam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemandu e-hailing dan penganggur itu didakwa membunuh seorang lelaki berusia 41 tahun dan kemudian membuang mayatnya di kawasan terpencil di Hulu Langat.
Mayat lelaki tersebut ditemui dalam sebuah bagasi di cerun bukit pada ketinggian 27 meter.
(Kedua-dua tertuduh, Devan Jayasimhan dan Hariharan Silvam tiba di Mahkamah Majistret Kajang)
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim.
Devan diwakili peguam, Kenny Tan Cheng Yee, manakala Hariharan tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Jun depan bagi sebutan semula kes.