fb fb fb fb fb

Dua kategori elaun pelajar tajaan PETRONAS dinaikkan - PM

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 20 September - PETRONAS menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaannya membabitkan 2,267 orang berkuat kuasa serta-mereta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan elaun itu membabitkan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di dalam negara dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob / FOTO FAIL)

"Kedua, pelajar yang baru menerima penajaan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) akan menerima elaun induksi (Onboarding Allowance) yang dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000.

"Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini juga diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Tambah Ismail, PETRONAS terus komited bagi menjayakan Program PESP yang kini memasuki tahun ke-47 selepas dilaksanakan sejak tahun 1975.

Menurut Ismail, program tersebut telah terbukti membantu pelajar-pelajar yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Program PESP telah melahirkan dan seterusnya menyediakan tenaga kerja profesional, mahir dan berketerampilan dalam kalangan generasi muda khususnya bagi mencapai sasaran Negara Maju Berpendapatan Tinggi seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

Media Baharu