(Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempengerusikan mesyuarat berkaitan
konsensus lima perkara mengenai Myanmar di New York)
NEW YORK, 20 September- Asean perlu memutuskan sama ada konsensus lima perkaranya mengenai Myanmar masih relevan atau harus dibatalkan segera.
Keputusan itu perlu dicapai sebelum sidang kemuncak Asean November ini.
Bercakap kepada RTM di New York, Amerika Syarikat, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut menegaskan keperluan rundingan yang inklusif serta adil membabitkan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Junta Myanmar tidak mengendahkan konsensus lima perkara yang dipersetujui dengan ASEAN tahun lalu.
Salah satu perkara utama dalam konsensus tersebut adalah menamatkan keganasan.
Setakat ini, lebih 2,300 orang terbunuh sejak tentera merampas kuasa dengan menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 1 Februari 2021.
"Saya berharap sekretariat Asean dan menteri-menteri luar Asean boleh menyediakan apakah keputusan baru yang perlu dilakukan. Misalnya, adakah lima perkara konsensus itu berkesan. Kalau tidak berkesan, mungkinkah ia perlu dibaiki. Jika tidak boleh dibaiki, perlukah ia diganti.. dan jika diganti, diganti dengan apa? Kita tidak boleh tunggu hanya untuk bincang ini semasa sidang kemuncak Asean. Sebab kalau itu berlaku, lepas itu keputusannya ialah mengarahkan sekretariat Asean dan Menteri Luar untuk cari jalan. Itu adalah setahun lagi. Ramai lagi yang akan mati," katanya.
Datuk Seri Saifuddin bersama Ahli Parlimen dari Eropah dan Asia, serta ahli-ahli Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar menggesa masyarakat global mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani krisis Myanmar.
Beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan isu tersebut di New York, sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin berkata, pendirian Malaysia terhadap konflik Myanmar kekal sama.
Ia akan ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan negara yang dijadualkan pada 23 September waktu New York.
(Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui RTM selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan
konsensus lima perkara mengenai Myanmar di New York)