KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Dua anggota polis direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) Terengganu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan aktiviti perjudian dan narkotik.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.
Kedua-duanya ditahan antara kira-kira pukul 12.30 tengahari hingga dua petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
Siasatan awal mendapati suspek pertama berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Ogos 2024 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terbabit.
Manakala suspek kedua berusia 40-an pula dipercayai melakukan perbuatan terbabit sekitar bulan Disember 2022 hingga Mei 2023 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan narkotik.
Kedua-dua suspek disyaki menerima suapan secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik masing-masing.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.