fb fb fb fb fb

Hak bumiputera tidak terjejas dalam rundingan perdagangan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Hak bumiputera, keperluan vendor tempatan atau perlindungan sektor strategik tidak akan diubah dalam mana-mana rundingan.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung tarif Amerika Syarikat (AS).

"Ini penting untuk dibentangkan, apakah perbincangan dengan AS dan negara2 lain, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kesatuan Eropah akan menyebabkan beberapa dasar induk ditukar?

Ingin saya tegaskan dasar utama negara dasar Bumiputera, keperluan vendor tempatan, perlindungan sektor strategik tidak akan diubah dalam semua rundingan ini.

Ini kerana, sementara kita mahu ikut agenda perdagangan bebas, kita tidak boleh mengelak daripada melihat kepentingan keselamatan dan kepentingan strategik negara,”katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan AS bersetuju untuk berunding dengan lebih lanjut dengan Malaysia dan terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan.

Ketika ini, kerajaan akan terus menumpukan usaha mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI seperti yang termaktub dalam dasar Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Ini termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta agenda pendigitalan negara.

"Usaha ini mustahak sebagai serampang dua mata dalam menjana aktiviti pelaburan jangka pendek dan pada masa yang sama memperkukuh daya saing jangka panjang negara dalam mendepani kegalauan ekonomi global," jelasnya.

Katanya, asas ekonomi yang kukuh menjamin kejayaan negara dalam mendepani kemelut berhubung tarif berkenaan.

Ia dipacu menerusi kekuatan pimpinan jentera kerajaan, sektor swasta dan tenaga kerja cemerlang yang berupaya menyelamatkan negara dalam mendepani kemelut sementara itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM