Dikir Barat RTM: Lapan kumpulan berentap di suku akhir kategori lelaki


Pertandingan berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong bermula pukul 9 malam.

KOTA BHARU, 4 April – Lapan kumpulan sedia berentap di pentas suku akhir kategori lelaki Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap kumpulan diberi 15 minit untuk persembahkan karya berasaskan tema seperti perpaduan kaum, penipuan dalam talian, kesihatan mental dan ancaman dadah.
  • Empat kumpulan lelaki terbaik akan mara ke separuh akhir di Kuala Lumpur pada 18 April.
  • Edisi ini mencatat sejarah dengan penyertaan julung kali kumpulan dikir wanita yang akan berentap di peringkat separuh akhir.

Pertandingan berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong bermula pukul 9 malam.

Timbalan Pengarah Penyiaran Kelantan, Muhammad Aiman Yusoff berkata persiapan penganjuran telah dilakukan lebih awal dengan pemilihan peserta secara profesional.

“Kita telah membuat persiapan rapi dan berharap penganjuran ini diterima baik oleh semua pihak,” katanya ketika ditemui semasa meninjau persediaan di lokasi program.

Setiap kumpulan diberi tempoh 15 minit untuk mempersembahkan karya berasaskan tema ditetapkan.

Ini termasuk perpaduan kaum, penipuan dalam talian, kesihatan mental, etika media sosial, ancaman dadah, patriotisme, serta kesyukuran terhadap keamanan.

Pengurus Kumpulan Kala Maharaja, Norhalis Mohamed Noor berkata, pasukannya telah melakukan persiapan rapi termasuk merangka lirik dan susunan persembahan.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Sanggar Budaya, Roseli Md Noor berkata, latihan berjadual telah dilaksana bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik.

“Kita membuat latihan secara berkala dan insya-Allah akan memberikan persembahan terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

Bagi Tukang Karut Kumpulan Medang Kemulang, Mohamad Amirul Halim, penyertaan kali ini membawa misi memperbaiki pencapaian lalu.

“Kita pernah menyertai pada tahun 2024 dan hanya mendapat tempat ketiga. Tahun ini insya-Allah kita akan buat lebih baik,” jelasnya.

Empat kumpulan terbaik kategori lelaki akan mara ke separuh akhir yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 April depan sebelum ke pentas akhir.

Edisi kali ini turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya melibatkan penyertaan kumpulan dikir wanita, yang dijadual berentap di peringkat separuh akhir.

Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 dijayakan bersama Raja Perfume dan Lavabelle selaku penganjur.

Orang ramai boleh mengikuti pertandingan itu secara langsung menerusi stesen radio KELANTANfm dan Facebook rasminya atau RTM Klik.