fb fb fb fb fb

DIHK Jerman dan Majlis TVET Malaysia setuju kongsi kepakaran - TPM

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama pelajar Malaysia di Jerman/FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi mewujudkan satu kerjasama dengan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu bagi membantu kerajaan mencipta rangka tindakan unik yang disesuaikan dengan program TVET Malaysia.

Menerusi persetujuan itu, Dewan Perniagaan Jerman Malaysia akan mengetuai dalam penyelarasan antara syarikat-syarikat Jerman di Malaysia dan sebahagian daripada majlis penasihat yang khusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia.

"Dewan Perniagaan Jerman juga akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan program Jerman Dual Vocational Training (GDVT) yang melibatkan penyertaan industri Malaysia.

"Itu akan membantu menyelaraskan tenaga kerja mahir Malaysia bersesuaian piawaian Jerman seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan.

Keputusan itu diperoleh ketika Ahmad Zahid mengadakan perjumpaan dengan wakil Bosch-Haus serta DIHK menerusi lawatan kerjanya ke Berlin, Jerman ketika ini.

Pada lawatan itu, beliau juga berkesempatan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan TH Brandenburg University of Applied Sciences.

MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama akademik untuk pelajar Jerman A-level (GAPP), meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, peluang latihan tenaga pengajar (ToT) dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI.

SITI AISHAH BINTI MD ISA