fb fb fb fb fb

PM mahu golongan akademik jadi peneraju akal, pemikiran bangsa negara

Khaled Nordin (dua kiri) dan Dr Adeeba Kamarulzaman (dua kanan)

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan akademik terus menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa negara terutama dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.

Saranan itu turut disambut baik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang akan melipat gandakan usaha membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global.

"Insya-Allah kita akan laksanakan tanggungjawab itu dengan penuh komitmen dan dedikasi supaya memastikan negara Malaysia terus maju supaya Malaysia bangkit sebagai satu negara yang sentiasa meletakkan ilmu dan golongan akademik di tempat sewajarnya," katanya.

Teks ucapan beliau itu disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-15 di sini.

Pada majlis tersebut, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang merupakan pakar penyakit berjangkit negara dari Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara edisi kali ini.

Selain itu, seramai lima orang ahli akademia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan, Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan serta Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

SITI AISHAH BINTI MD ISA