fb fb fb fb fb

Diaspora Malaysia di Laos perlu teroka tenaga boleh baharu

Datuk Seri Fadillah Yusof

LAOS, 26 September- Diaspora Malaysia di Laos disaran mengambil peluang untuk meneroka peluang pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu bagi memenuhi permintaan serantau, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, sektor tenaga berkenaan dan tenaga bersih kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan anggota ASEAN.

"Di Malaysia sahaja permintaan untuk tenaga adalah kira-kira 8,000 megawatt kerana pusat-pusat data yang berminat datang ke Malaysia seperti NVIDIA, Microsoft dan Google.

"...bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh ASEAN," katanya pada majlis makan malam diaspora Malaysia di sini turut menjadi platform bertukar-tukar pandangan antaranya mengenai strategi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Dalam pada itu Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN pada tahun depan akan menumpukan antaranya pembangunan sektor tenaga selain berharap agenda Grid Tenaga ASEAN (APG) dapat dimuktamadkan pada 2025.

Beliau berkata APG akan membolehkan transaksi pembekalan tenaga merentas sempadan dan perkara itu pasti memberi peluang perniagaan kepada pemain industri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI