Dialog jalan terbaik redakan konflik Asia Barat – PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Malaysia kekal dengan pendirian bahawa segala pertikaian yang berlaku di Asia Barat ketika ini mesti ditangani melalui jalan damai bagi meredakan ketegangan yang kian meruncing di rantau tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menyeru dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara sebagai pendekatan terbaik untuk memulihkan kestabilan serta menegakkan prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat.
  • Beliau mengadakan perbualan telefon dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
  • Anwar menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat.
  • Perbualan turut disusuli pertukaran ucapan Aidilfitri serta doa untuk keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara merupakan pendekatan terbaik untuk mengembalikan kestabilan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan serta prinsip keadilan sejagat.

Beliau menyatakan perkara itu menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan perbualan telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, hari ini.

“Saya menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat, serta menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat serangan balas yang berlaku di rantau tersebut,” katanya.

Selain membincangkan isu geopolitik, Anwar berkata perbualan itu turut disusuli pertukaran ucapan sempena Aidilfitri, di samping mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran rakyat di negara masing-masing.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar turut mengadakan perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi.

Kedua-dua pemimpin dunia itu menyatakan penghargaan dan menilai kemajuan kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi, serta sains dan teknologi.

Selain kerjasama dua hala, Malaysia turut menegaskan pendirian berhubung krisis di Asia Barat dengan menuntut gencatan senjata segera dan penyelesaian konflik melalui dialog diplomatik.

“Saya juga berkongsi pendirian Malaysia berhubung situasi di Timur Tengah, yang menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan Perdana Menteri di Facebooknya.

Malaysia dan Jepun memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957 melalui pemerkasaan Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

Kedua-dua negara bersetuju untuk terus memainkan peranan konstruktif bagi menjamin keamanan serta kemakmuran di peringkat serantau dan global.