fb fb fb fb fb

Deruman helikopter Maritim Malaysia gamatkan suasana program Jiwa Merdeka

Deruman aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AS365 N3 Dauphin yang melakukan penerbangan "flying pass" telah menggamatkan suasana Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka, di Putrajaya / Foto FB Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 17 Ogos – Deruman aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), AS365 N3 Dauphin yang melakukan penerbangan "flying pass" telah menggamatkan suasana Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka, di sini.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Muda Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata gimik tersebut adalah bagi menarik perhatian orang awam khususnya pengunjung sempena program tersebut.

Beliau berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha Maritim Malaysia dalam menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67.

"Program ini merupakan inisiatif strategik yang dirangka Maritim Malaysia untuk mendekati komuniti bandar bagi memperkenalkan peranan dan tanggungjawab Agensi ini dalam menjaga keselamatan Zon Maritim Malaysia.

"Program juga menjadi platform kepada masyarakat bagi memahami tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara keseluruhan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sama ada di darat mahupun di perairan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka, di sini.

Tambah Mohd Rosli, hubungan erat yang terjalin antara Maritim Malaysia dan komuniti merupakan kunci kejayaan dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia.

Ini di mana masyarakat berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam melaporkan segala aktiviti salah laku, jenayah, serta kecemasan yang berlaku di laut agar ia dapat diambil tindakan segera oleh pihak Agensi.

“Keselamatan perairan negara bukanlah tanggungjawab Maritim Malaysia semata-mata, tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk masyarakat,

“Oleh itu, Maritim Malaysia amat menghargai kerjasama semua pihak bagi menyalurkan maklumat yang berlaku di perairan negara dalam usaha melindungi dan mengekalkan keselamatan tanah air tercinta,” tambahnya.

Program sehari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik di reruai Maritim Malaysia seperti pameran replika aset Maritim Malaysia, pakaian anggota Maritim Malaysia, penerangan peluang kerjaya, Virtual Reality, Wheel of Fortune, kuiz dan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN