KUALA LUMPUR, 4 Mac- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yakin tiada manipulasi atau penjualan tapak bazar Ramadan berlaku.
Ini kerana ia melalui pengurusan dan penawaran secara terus kepada pemohon atau peniaga.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, penambahbaikan dibuat selepas pelaksanaan bazar Ramadan diambil alih penganjuran sepenuhnya oleh DBKL.
"Beberapa maklum balas telah diterima dan ada portal berita melaporkan peniaga menzahirkan rasa lega dengan sewaan tapak yang munasabah, tanpa melibatkan pihak ketiga.
"Sebelum ini mereka dibebani dengan harga sewa tapak yang tinggi hingga sukar untuk mengimbangi kos-kos tersebut dengan harga jualan. Agak mengecewakan apabila masih terdapat cubaan penjualan tapak yang dikesan melalui saluran WhatsApp.
"DBKL juga telah mengambil tindakan membuat laporan polis bagi membendung mana-mana pihak yang dikesan ingin mengambil kesempatan untuk memanipulasikan lesen-lesen bazar Ramadan bagi tahun ini," katanya di Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator, Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli.
Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan turut memberi jaminan melakukan penguatkuasaan secara berkala dan yakin tiada lesen penjaja dimanipulasikan.