DBKL diminta bentang usaha mitigasi banjir kepada PM

Hannah Yeoh bercakap pada sidang media bersama Wilayah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan hari ini

KUALA LUMPUR, 16 November – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta membentangkan langkah pengurusan dan mitigasi banjir di ibu negara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengukuhkan mitigasi menghadapi Monsun Timur Laut dan kemungkinan Super El Nino melalui tadbir urus bersepadu berkala.
  • Berjaya kurangkan lokasi panas banjir daripada 31 kepada 14; sasaran 10 lokasi atau kurang menjelang akhir tahun.
  • Sedia 4,162 anggota, aset logistik (139 lori, 60 4x4) dan 120 PPS kapasiti 31,000; peruntukan DBKL RM27 juta tahun depan.

Langkah amalan tadbir urus itu antara persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dari November hingga Mac depan, selain mengambil kira kemungkinan fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata langkah mitigasi sebelum ini berjaya mengurangkan 31 lokasi panas banjir di Kuala Lumpur kepada 14 lokasi dalam tempoh tiga tahun.

“Fokus kita tahun ini adalah mengurangkan risiko banjir kerana kita tahu apabila banjir berlaku di kawasan bandar, kerosakan harta benda dan risiko terhadap nyawa adalah sangat tinggi.

“Justeru, semua usaha yang dilaksanakan ini adalah secara bersepadu dan berkala, bukannya hanya dilakukan apabila Monsun Timur Laut hampir tiba,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan hari ini.

Katanya, DBKL menyasarkan jumlah itu dikurangkan lagi kepada 10 lokasi atau kurang menjelang akhir tahun ini.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana, seramai 4,162 anggota daripada pelbagai agensi di Wilayah Persekutuan turut disiapkan untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Persiapan itu disokong aset dan logistik termasuk 139 lori, 60 unit kenderaan pacuan empat roda serta 120 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mampu menempatkan sehingga 31,000 orang.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, DBKL memperuntukkan RM27 juta tahun depan bagi memperkukuh usaha mengurangkan risiko banjir, berbanding RM15 juta pada 2026.

Antara langkah dilaksanakan termasuk kerja penyelenggaraan dan pembuangan kelodak di parit, sungai serta kolam takungan setiap tiga bulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.