(MoU itu bertujuan meneroka lebih luas potensi kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan
selain memberi faedah pembangunan sosioekonomi kedua-dua negara)
HANOI, 20 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Minh Chinh hari ini menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam (VCCI)
MoU itu bertujuan meneroka lebih luas potensi kerjasama ekonomi, pelaburan dan perdagangan selain memberi faedah pembangunan sosioekonomi kedua-dua negara.
Ia ditandangani oleh Presiden NCCIM, Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi VCCI, Pham Tan Chong.
Anwar dan Pham Minh turut menyaksikan majlis menandatangani pengesahan dokumen minit hasil Mesyuarat ke-7 Suruhanjaya Bersama (JCM-7) Ekonomi, Saintifik dan Kerjasama Teknologi antara Malaysia dengan Vietnam.
Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Sri Zambry Kadir manakala Vietnam diwakili rakan sejawatannya, Bui Than Son.
(Pemeteraian itu di tandangani oleh Presiden NCCIM Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi
VCCI, Pham Tan Chong)
Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), Ngunyen Phu Trong.
Usaha menangani isu rasuah serta tata kelola baik menjadi fokus pertemuan.
Kerjasama berkaitan akan diperhalusi antara agensi anti rasuah kedua-dua negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan rasmi penuh istiadat oleh kerajaan Vietnam di Istana Presiden Hanoi sebaik tiba untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara itu.
Ketibaan beliau disambut oleh rakan sejawatannya, Pham Minh Chinh.
Acara dimulakan dengan iringan lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Vietnam, Tien Quan.
Datuk Seri Anwar dengan diiringi Minh Chinh, memeriksa kawalan kehormat dan diperkenalkan kepada barisan kabinet Vietnam.
Sejurus sambutan, satu mesyuarat bilateral diadakan di bangunan kerajaan Vietnam membincangkan hala tuju termasuk menstruktur semula kerjasama kedua-dua negara yang akan memberi manfaat bersama.