KUALA LUMPUR, 18 Julai - Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad kini memangku jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.
Beliau akan menggalas tanggungjawab tersebut sehingga pelantikan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
Datuk Mohamed Usuf mengambil alih tugas daripada mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang telah berkhidmat selama hampir satu tahun tiga bulan.
Datuk Rusdi dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berkuat kuasa Isnin depan.
Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad.
Terdahulu dalam ucapan semasa Perhimpunan Bulanan Khas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi memaklumkan, statistik jenayah di ibu negara berkurangan.
"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menurun 28 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jenayah kekerasan turun 29 peratus daripada 790 kes pada 2024 kepada 563 kes tahun ini. Jenayah harta benda juga menurun 27 peratus, daripada 3,377 kes kepada 2,453 kes,” katanya.