KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Usaha memperkukuh pembangunan modal insan kreatif negara terus dipergiat apabila institusi pendidikan seni tempatan, Akademi Seni Dasein, mengumumkan peluasan dana biasiswa tahunannya kepada RM1 juta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu merupakan satu pelaburan besar terhadap masa depan bakat muda negara serta menyumbang secara langsung kepada pengukuhan ekonomi kreatif.
Tambah beliau, langkah tersebut juga selari dengan perkembangan semasa, di mana sektor pendidikan seni kini semakin relevan dan tidak lagi dianggap sebagai bidang sampingan dalam dunia moden.
"Fikirkan tentang reka bentuk. Sesuatu produk mungkin berfungsi dengan baik, tetapi selalunya reka bentuk yang menentukan sama ada ia diterima oleh masyarakat atau tidak."
"Kita juga amat gembira kerana Akademi telah melahirkan ramai alumni yang kini berjaya sebagai usahawan seni dan reka bentuk di seluruh dunia."
"Kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi kepada agensi dan institusi lain untuk terus mengangkat bidang seni dan reka bentuk ke tahap yang lebih tinggi," tambahnya.
Tambahnya lagi, dengan kepakaran seni yang bersifat sejagat, graduan Dasein mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Ini sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia melalui karya dan inovasi mereka.
"Inilah juga sebabnya Kementerian komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi kita melahirkan graduan yang holistik, berdaya keusahawanan dan seimbang"
"Ia bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja boleh diambil bekerja, tetapi juga mampu menyesuaikan diri, kreatif, dan berteraskan nilai."
Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas majlis Ulang Tahun Ke-30 Akademi Dasein di ibu negara, di sini, semalam.