fb fb fb fb fb

Loji rawatan air dicadang bina di Rantau Panjang atasi krisis bekalan

Datuk Seri Wong Soon Koh (duduk, tengah) ketika menyampaikan sidang media di pejabatnya pada Jumaat

SIBU, 4 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh mencadangkan pembinaan sebuah loji rawatan air akut di Rantau Panjang bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kaedah itu terbukti berkesan apabila pernah dilaksanakan di Sungai Sadit, Sibu dengan kapasiti 4 juta liter sehari (MLD) dan berjaya menyelesaikan isu bekalan air di kawasan tersebut.

“Loji rawatan seperti ini hanya memerlukan kos sekitar RM5 juta. Untuk Rantau Panjang, kapasiti mungkin perlu lebih besar bagi menampung keperluan penduduk,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Jelasnya, projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk enam blok rumah pangsa, penghuni rumah panjang serta lebih 30 syarikat limbungan kapal yang beroperasi di kawasan tersebut.

Mengulas punca masalah, Datuk Seri Wong berkata, lokasi Rantau Panjang yang jauh dari Loji Rawatan Air Salim serta kebocoran paip lama di seluruh Sibu menjadi faktor utama.

“Sekitar 48 peratus air terawat dari Loji Salim hilang akibat kebocoran. Ini menyebabkan tekanan air semakin rendah di kawasan jauh seperti Rantau Panjang dan kadang kala terputus terus,” jelasnya.

Tambah beliau, keadaan tanah gambut di Sibu turut menyumbang kepada kerosakan saluran paip apabila tenggelam dan pecah, selain kebocoran yang sukar dikesan.

Katanya, kerajaan negeri kini melaksanakan pelbagai langkah termasuk menaik taraf loji rawatan dan menggantikan paip uzur di seluruh Sibu.

“Tahun lalu kerajaan negeri memperuntukkan RM300 juta untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Salim dan RM170 juta bagi menggantikan 360 kilometer paip uzur. Selepas siap, loji itu akan menghasilkan 300 juta MLD air bersih setiap hari untuk kegunaan seluruh Sibu,” ujarnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Pengurus Wilayah (Bahagian Tengah) Sarawak Water, Lau Pon Yin dan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting Fook Ying.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE