fb fb fb fb fb

Dasar Pendidikan Tinggi percuma Sarawak fokus penawaran kursus penuhi keperluan negeri

Datuk Dr Annuar Rapa’ee ditemui pemberita selepas merasmikan program Jom Masuk U Zon Sarawak di UNIMAS

KUCHING, 13 Mei- Dasar Pendidikan Tinggi percuma Sarawak akan memfokus kepada kursus-kursus bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di negeri itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee menjelaskan kajian mengenai kursus-kursus berkenaan sedang dikenal pasti dan dikaji agar bertepatan dengan keperluan tenaga kerja negeri.

Tambahnya keutamaan akan diberikan dalam penawaran pendidikan percuma bagi memastikan keperluan tenaga kerja diisi dan tidak wujud masalah tiada pekerjaan.

Datuk Dr Annuar ditemui selepas merasmikan program Jom Masuk U Zon Sarawak yang dianjurkan Universiti Malaysia Sarawak di Kuching.

Terdahulu Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Datuk Dr Annuar berkata dasar pendidikan tinggi percuma kepada anak jati Sarawak akan dilaksanakan pada tahun 2026.

Ia membabitkan universiti milik kerajaan negeri seperti Universiti Teknologi Sarawak UTS, Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak CENTEXS.

Sarawak akan menjadi negeri pertama bergerak ke arah inisiatif tersebut dan membuka peluang kepada anak Bumi Kenyalang meneroka teknologi baharu untuk kemajuan perkembangan negeri dan negara.

Dalam pada itu Program Jom Masuk U Zon Sarawak diadakan selama dua hari berakhir semalam dan disertai 60 reruai untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE