fb fb fb fb fb

Dasar Industri Pertahanan Negara dijangka dilancar Mei - Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Foto Bernama

KOTA BELUD, 16 Mac – Dasar Industri Pertahanan Negara yang dibangunkan secara komprehensif kini berada di peringkat akhir sebelum dijadualkan dilancarkan pada Mei depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dasar itu akan dibawa ke Majlis Industri Pertahanan Negara untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dibentangkan di peringkat kabinet.

Beliau menjelaskan, dasar tersebut dirangka bagi memperkasa sektor pertahanan negara dengan mengurangkan kebergantungan terhadap pembekalan aset dari luar negara.

“Ini termasuk usaha memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan, memperkasakan STRIDE sebagai badan penyelidikan dalam Kementerian Pertahanan, serta memastikan pemindahan teknologi dalam setiap perolehan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama warga Kem Paradise, di sini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan Kementerian Pertahanan memperuntukkan sejumlah RM2.2 bilion bagi memperkukuh sektor pertahanan, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pembinaan dan penyelenggaraan pos sempadan di Sabah.

Daripada jumlah itu, RM500 juta diperuntukkan untuk projek di Kem Paradise, manakala RM95 juta bagi pembinaan Kem 22 Rejimen Artileri di Kota Belud.

“Kita juga sedang dalam proses perolehan bagi pembinaan rumah kakitangan Angkatan Tentera untuk 5 Briged dan 19 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Paradise dengan kos sebanyak RM298 juta.

"Selain itu, pembinaan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kota Belud menelan kos sekitar RM200 juta, menjadikan keseluruhan projek di Kem Paradise bernilai hampir RM600 juta,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan mock cek berjumlah RM4.676 juta bagi penyelenggaraan Kem Paradise Kota Belud.

Beliau juga menyampaikan sumbangan kebajikan RM500 secara sekali bayar kepada 20 pesakit kronik terdiri daripada anggota serta ahli keluarga warga Kem Paradise.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN