fb fb fb fb fb

JAIS semak status tauliah individu terlibat insiden keganasan di Kajang

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarahkan memulakan semakan status tauliah mengajar melibatkan seorang individu berimej agamawan, susulan insiden keganasan terhadap pelajar di Kajang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, tauliah mengajar akan ditarik serta merta jika individu tersebut memegang sebarang bentuk tauliah mengajar yang pernah diberikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan tidak dibenarkan mengajar agama di negeri Selangor.

"Saya menyeru kepada semua agamawan dan guru yang diberikan tauliah mengajar MAIS di Selangor agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam serta menjauhi segala tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan pada para agamawan dan guru," kata Mohammad Fahmi menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau menyifatkan insiden keganasan itu merupakan tindakan ganas yang bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam, lebih-lebih lagi ia berlaku di bulan Ramadan.

"Saya mengecam segala bentuk kekerasan, lebih-lebih lagi jika pelakunya membawa imej agamawan atau guru. Seorang agamawan ataupun guru harus mengamalkan akhlak yang mulia agar dapat diteladani masyarakat terutamanya golongan muda," katanya lagi.

 

TETITIA YUSOFF