fb fb fb fb fb

MINDEF nilai semula kaedah terbaik perolehan Black Hawk

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (dua, kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada para penerima pada Majlis Santunan Ramadan Bersama Pekerja-Pekerja Sektor Pembersihan anjuran Yayasan Amal Asas di Durian Tunggal

ALOR GAJAH, 16 Mac - Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam proses menilai semula kaedah terbaik perolehan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan Tentera Darat Malaysia (TDM), yang dijangka dimuktamadkan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kaedah berkenaan melibatkan perjanjian pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau model sewaan yang digunakan ketika ini.

"Jadi kita harus melihat proses semasa terutama dari segi harga semasa kerana kita tahu itu keperluan kita di peringkat Kementerian Pertahanan dan kita kena lalui beberapa proses sebelum kita melihat bagaimana mendapatkannya (helikopter) dan mempercepatkan usaha itu.

"Kita ada banyak model pada hari ini, sama ada G2G atau model sewaan dan perbandingan serta penilaian akan dilakukan sebelum diputuskan... Kita cuba selesaikan tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santunan Ramadan bersama Pekerja-Pekerja Sektor Pembersihan anjuran Yayasan Amal Asas dengan tajaan ILTIZAM bersama Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

Mengulas lanjut, Adly berkata tender terbuka perolehan helikopter berkenaan akan dibuka sekiranya ada keperluan dan jika terdapat banyak pihak yang boleh memberi jaminan kepada kerajaan bahawa mereka boleh mendapatkan aset itu.

Pada 1 Mac lepas, media melaporkan MINDEF merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan TDM pada masa hadapan dan perancangan itu dilakukan selepas syarikat dilantik sebelum ini gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.

Terdahulu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata 100 pekerja sektor pembersihan diraikan pada majlis berbuka puasa berkenaan selain penyampaian sumbangan wang tunai sempena Ramadan. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF