fb fb fb fb fb

Dasar berkecuali kekal hadapi isu geopolitik serantau

Pakar Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Jun - Prinsip berkecuali kekal menjadi tunjang dasar luar negara mendepani isu geopolitik serantau.

Menurut Pakar Geostrategis Profesor Dr Azmi Hassan, sebagai sebuah negara kecil Malaysia tidak pernah memperjudikan kedaulatan negara terutama berdepan tekanan kuasa besar.

"Malaysia tidak pernah memperjudikan kedaulatan bila berurusan dengan kuasa besar. Saya ambil contoh yang paling mudah, Laut China Selatan,

"Kita ada masalah dengan China dalam hal ini, tetapi kita selesaikan masalah di Laut China Selatan dengan China melalui diplomasi, bukan melalui ketenteraan," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau menyentuh mengenai peranan Malaysia sebagai negara berkecuali yang konsisten, tanpa memihak kepada mana-mana kuasa besar.

"Kedaulatan kita tetap dijaga dan China sekarang adalah rakan dagang kita yang terbesar selama 15 tahun berturut-turut,

"Begitu juga dengan Amerika Syarikat, banyak kali memaksa kita supaya menyebelahi mereka seperti yang berlaku dengan negara-negara jiran," katanya.

Tambahnya lagi, pendekatan diplomasi yang diamalkan Malaysia terbukti berkesan dalam memastikan kestabilan serantau.

Pada masa sama mengekalkan hubungan ekonomi yang baik dengan semua pihak.

"Dengan cara neutraliti, kita dapat menjaga kedaulatan dan manfaatnya adalah kepada Malaysia,

"Jadi tidak timbul isu untuk mempertahan kedaulatan negara, Malaysia perlu menjaga kedaulatan kuasa besar kerana kita boleh berdiplomasi," ujarnya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, sekali lagi menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan geopolitik kuasa besar.

Sebaliknya mempertahankan kebebasannya dalam ruang strategik sendiri demi memastikan kestabilan rantau ini dapat dikekalkan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ