fb fb fb fb fb

Dapat permintaan tinggi, anak muda Naka gigih usahakan projek tanaman labu

Akmal Rizal Muhammad Yusof bersama hasil tuaian labu

PADANG TERAP, 23 Julai- Berpegang kepada prinsip mahu berbakti kepada tanah mendorong seorang anak muda di Kampung Lebai Saman, Naka dekat Padang Terap melaksanakan projek tanaman labu.

Walaupun tanpa menjalani sebarang latihan khusus berkaitan, namun projek yang diusahakan oleh Akmal Rizal Muhammad Yusof, 24 tahun kini telah mengeluarkan hasil kali pertama yang memberangsangkan.

Menurut Akmal Rizal, projek tersebut mula dilaksanakan pada Januari lalu di kawasan tanah seluas kira-kira lima relung.

Menerusi modal sendiri dan bantuan daripada ahli keluarga berjumlah kira-kira RM5,000, pelajar lepasan Diploma Kejuruteraan Elektrik daripada UniKL-MSI Kulim itu memulakan projek dengan membeli benih labu jenis serta beberapa peralatan seperti paip dan plastik hitam.

Berbekalkan ilmu yang hanya dipelajari di media sosial, beliau mempraktikkan teknik penanaman dan penjagaan labu dengan berhati-hati bagi mengelak kerugian.

Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran termasuk serangan penyakit, namun ia tidak mematahkan semangat anak kedua daripada dua beradik ini untuk terus melaksanakan projek ini.

Usahanya berhasil apabila kira-kira 3,000 metrik tan labu berjaya dikeluarkan pada musim pertama kali ini.

Jelas Akmal Rizal, selain dijual di kawasan sekitar Naka, labu turut mendapat permintaan tinggi daripada peraih atau pemborong di sekitar Kedah.

Walaupun terpaksa mengeluarkan modal sendiri, namun Akmal Rizal berpuas hati kerana projek telah mengeluarkan hasil yang membanggakan dan berharap ada agensi atau jabatan berkaitan dapat menghulurkan bantuan kepadanya bagi mengembangkan lagi projek tanaman labu.

Kegigihan usahawan muda ini turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Muhammad Jasnizam Husni.

Katanya, kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh Akmal Rizal wajar dicontohi oleh semua khususnya anak-anak muda.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE