
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan terus memperkukuh sokongan terhadap ekosistem syarikat pemula negara menerusi pelancaran MTDC Tradeview Quantum Fund, dana pelaburan bernilai RM20 juta hasil kerjasama strategik antara Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Tradeview Capital Sdn. Bhd. bagi membantu mempercepat pertumbuhan syarikat teknologi berpotensi tinggi di Malaysia.
- Model 50-50 awam dan swasta dijadikan pemangkin untuk menarik lebih ramai pelabur swasta menyertai pembiayaan teknologi.
- Kerajaan menyokong syarikat pemula berpotensi tinggi yang menghadapi kekangan pembiayaan daripada modal teroka berorientasi pulangan komersial.
- Dana dijangka beroperasi selama lapan tahun dengan sasaran melabur dalam kira-kira lima hingga enam syarikat pemula berpotensi.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata dana unik itu diwujudkan melalui kerjasama sektor awam dan swasta, dengan sumbangan 50 peratus daripada kerajaan melalui MTDC dan 50 peratus daripada Tradeview Capital.
Beliau berkata dana berkenaan bermula dengan saiz permulaan sebanyak RM20 juta dan dijangka membantu lebih banyak syarikat pemula yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.
“Ini adalah kali pertama kita mewujudkan dana seperti ini melalui kerjasama sektor awam dan swasta. Kita berharap dana ini dapat membantu lebih banyak syarikat pemula yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang,” katanya pada majlis pelancaran dana tersebut di sini.
Chang menjelaskan sebelum ini kebanyakan syarikat pemula bergantung kepada modal teroka swasta (private venture capital) yang lazimnya membuat keputusan pelaburan berdasarkan pulangan komersial semata-mata.
Namun, dengan penglibatan kerajaan melalui inisiatif dana seperti ini, ia dapat membantu menyokong syarikat pemula yang berpotensi besar tetapi mungkin berdepan kekangan pembiayaan.
Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya dana tersebut berjaya membantu syarikat-syarikat pemula berkembang, kerajaan bercadang untuk menggandakan dana berkenaan pada masa hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih banyak syarikat inovatif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Technology Development Corporation, Ts. Mohammad Hazani Hassan berkata tempoh dana tersebut dijangka berlangsung selama lapan tahun.
Menurut beliau, dengan dana permulaan RM20 juta itu, pihaknya menyasarkan untuk melabur dalam sekitar lima hingga enam syarikat pemula yang berpotensi tinggi.
Tambahnya, kerjasama antara MTDC dan Tradeview Capital juga diharap dapat menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai pelabur swasta untuk menyertai inisiatif pembiayaan teknologi pada masa akan datang.
“Inisiatif ini kita mulakan dengan model 50-50 antara kerajaan dan sektor swasta sebagai langkah pemangkin. Insya-Allah selepas ini lebih ramai pelabur swasta akan turut serta,” katanya.