fb fb fb fb fb

Daftar VSP, tingkat keselamatan masyarakat sempena musim perayaan

Datuk Dzulkhairi Mukhtar

AYER KEROH, 12 Mac- Polis Melaka akan bekerjasama dengan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu bagi memastikan penduduk mendaftar menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk mendapatkan bantuan dan perkhidmatan dari agensi keselamatan.

Ketua Polis Melaka Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sehingga kini pihaknya mendapati hanya terdapat 49,487 pendaftaran menerusi aplikasi berkenaan.

"Oleh itu kita menggalakkan khususnya masyarakat Melaka untuk mendaftar VSP, kerana menerusi rekod tahun lepas empat kes pecah rumah di Melaka pada musim perayaan.

"Kita harap dengan adanya kempen VSP seperti ini dan Program Rumah Selamat ia akan menggalakkan orang ramai untuk mendaftar menerusi aplikasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kempen Keselamatan dan Pengedaran Bubur Lambuk di hadapan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini.

Dalam perkembangan lain beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah meluluskan lebih 200 permohonan lesen dan permit jualan mercun di Melaka.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI