fb fb fb fb fb

Daftar segera SKDS 2.0, elak terlepas tuntutan pembelian diesel - Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh

KULIM, 28 Jun - Pemilik kira-kira 175,000 kenderaan barangan yang belum mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 diminta berbuat demikian dengan kadar segera.
 
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata sekiranya pendaftaran dilakukan selepas 30 Jun ini, mereka tidak layak membuat tuntutan pembelian diesel bagi tempoh 10 Jun lalu hingga akhir bulan ini.

"Ketika ini hanya 234,000 kenderaan telah mendaftar berbanding 410,000 kenderaan yang layak berbuat demikian. Jadi maksudnya lebih kurang 175,000 kenderaan masih belum berdaftar untuk mendapatkan Fleet Card Diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0 dan Karnival Kepenggunaan Negeri Kedah, di sini.

Tambah Fuziah, pendaftaran SKDS 2.0 masih diteruskan selepas 30 Jun ini dan bagi membantu pemilik kenderaan yang layak mendaftarkan kenderaan masing-masing, kementeriannya telah menganjurkan program Hari Terbuka SKDS 2.0 agar mereka tidak terlepas daripada mendapat manfaat itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN