CUPING, 3 Februari - Cubaan seorang lelaki menyeludup 350 kilogram daun ketum dari Malaysia ke negara jiran gagal apabila ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kubang Pasu di Kubang Tiga, Cuping, Perlis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian 1.15 pagi itu, sepasukan Unit Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Kubang Pasu menjalankan Op Pelbagai Trafik di Kilometer 25 Jalan Alor Setar - Bukit Kayu Hitam, di sini.
Unit berkenaan terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.
"Suspek yang berusia 21 tahun diarah berhenti, namun bertindak memecut laju kenderaan menghala ke Perlis. Kenderaan dipandu suspek terbabas sebelum melanggar pokok berdekatan Watt Siam Kubang Tiga Chuping dan akhirnya berjaya ditahan", katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek menemui 35 plastik hitam berisi daun hijau disyaki daun ketum seberat 350 kilogram yang bernilai lebih RM10,000.
Siasatan awal mendapati, suspek seorang penganggur dipercayai mendapat bekalan daun ketum dari Kedah untuk dihantar ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand sebelum diseludup ke negara jiran. Hasil ujian saringan air kencing, suspek turut positif dadah jenis Methaphetamine.
Kes disiasat dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.